Monday 15 August 2011

Jambari Hj Ali pakar radio isotop lulusan ITB

Orangnya selalu tersenyum manis ketika kami bertemu untuk sebuah wawancara ringkas. Kami kebetulan dalam perjalanan ke suatu mesyuarat di Bandar Kinrara pada hari Sabtu tanggal 6 Ogos 2011. Beliau dilahirkan pada 1hb. September 1949 di Batu Pahat, Johor.

Bersekolah rendah di Sekolah Dato’ Bentara Luar Batu Pahat, kemudian ke sekolah berasrama penuh Sekolah Alam Shah (SAS), Cheras mulai 1964 hingga tahun 1968. Kemudian meneruskan pengajian di Institut Teknologi Bandung Jurusan Biologi mulai tahun 1969 hingga tahun 1974 dengan memperolehi gelar Doktorandus (Drs). Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Scotland di University of Dundee dalam Jurusan Parasitologi mulai tahun 1979 hingga tahun 1983 dengan memperolehi PhD dalam bidang Parasitologi.

Sepulangnya dari Bandung beliau terus berkhidmat sebagai Pensyarah Muda di Universiti Pertanian Malaysia pada 15 November 1974 setelah menamatkan pengajian beliau di ITB pada tahun yang sama. Pada tahun 2005, beliau telah dilantik sebagai Profesor di Universiti Putra Malaysia, yang baru bertukar nama, senelumnya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Secara proses alami beliau pun tiba waktu untuk bersara pada tahun 2005, dan mulai tahun 2006 beliau menjadi Profesor kontrak di UPM hingga Julai 2011. Mulai bulan September 2011, beliau menyertai syarikat swasta dalam bidang pengurusan sisa pepejal yang mempunyai teknologi unik dalam menyelesaikan isu sampah.

Ketika ku tanya kisahnya di Indonesia, beliau dengan gembira menceritakan pengalaman beliau di tanah seberang selama lima tahun kuliah di Institut Teknologi Bandung (ITB). “Suatu kejutan budaya terjadi padaku.” Tutur Profesor yang pakar dalam Radio Isotop itu.

Beliau menjejaki kaki ke Indonesia pada tahun 1969 bersama teman-teman seangkatan seperti Muhammad Yahya, Muhammad Mat Salleh, Mohd Salleh Said, Wan Daud, Jasman, Zainuddin, Kasran dan lain-lain. Tahun pertama, 1969, beliau kuliah di Jurusan Fizika, ITB. Namun disebabkan minat beliau yang mendalam dalam Biologi, beliau telah bertukar ke Jurusan Biologi pada tahun berikutnya.

“Apakah kejutan budaya yang Prof maksudkan?”, Tanya ku kehairanan setelah masing-masing diam sebentar dalam perjalanan pagi itu.

Dengan sedikit senyuman dan kadang-kadang ketawa lucu, beliau menceritakan satu peristiwa yang terjadi padanya di suatu pagi di rumah kostnya di Bandung.

Selepas pulang berbelanja di pasar pagi, Bapa Kostnya meminta beliau ambilkan surat khabar di kereta, “Nak Jambari, tolong ambilkan saya Koran di mobil”, minta Bapak kostnya.

Anak kost yang bernama Jambari ini terus mencari Al-Qur’an di mobil (kereta) bapak kostnya dan tidak ada pun Al-Qur’an yang diminta oleh Bapak kostnya itu. “Ngak ada Qur’annya” Kata Jambari. Bapak kostnya kemudian terus ke mobil, sambil menunjukkan surat khabar di tangannya dan berkata, “Nak Jambari, ini apa?.” Dengan nada yang seperti menyindir. Selepas itu Prof Jambari pun fahamlah bahwa Koran itu surat khabar dalam Bahasa Indonesia.

“Ismail, itu kejutan pertama. Kejutan kedua ialah dalam rumah boleh masuk pakai kasut.”, kata Prof Jambari. Di Malaysia kita sudah biasa dengan menanggalkan kasut bila masuk rumah. “Saya kaget pada mulanya.”, lanjutan bicara beliau.

Dalam perjalanan ke Kinrara itu, kami terus berbicara tentang perkara-perkara yang terjadi semasa berada di sana dan merupakan budaya muda mudi ketika itu. Salah satu ialah berkaitan dengan apel. Istilah apel sama maknanya dengan wakuncar (wajib kunjung pacar). Apel lebih ringkas sebutannya, yang membawa makna kunjungan lelaki ke rumah pacarnya pada malam minggu. Ketika itu malu sekali kalau tidak punya pacar.

Biasanya pacar lelaki yang akan ke rumah pacar perempuan, tidak sebaliknya. Jika dua-duanya mau keluar menonton filem di bioskop (panggung wayang), pacar lelaki akan mohon izin dengan ayah atau ibu pacarnya dan bila selesai menonton menghantar pulang pacarnya hingga ke dalam rumah bukan dibiarkan pulang sendirian. Di sini sikap tanggungjawab itu dibina.

Tatacara membawa keluar teman wanita biasa dari rumah juga sama caranya dengan membawa pacar keluar dari rumah. Hubungan pacar dengan pacar lebih intim, dari teman biasa. Pihak yang bertujuan membawa keluar seorang wanita untuk acara apa pun kena datang dan minta izin dari ibu atau ayah wanita berkenaan, biasanya diizinkan. Ketika menghantar pulang pun, lelaki yang menghantar mesti masuk ke rumah dan berjumpa dengan ibu atau bapa wanita berkenaan dan bersalaman dulu sebelum memohon diri untuk pulang dan ucapkan terima kasih kepada ibu atau bapa wanita berkenaan. Ini menunjukkan rasa tanggungjawab dan keluhuran persahabatan yang tinggi.

Ketika mengimbau kembali persahabatan antara sesama pelajar Malaysia di Bandung, Profesor yang masih ganteng (hensem) itu mengatakan, “Ketika jadi mahasiswa dulu di Bandung, kami selalu berkongsi motosikal. Yang beli motorsikal seorang, tapi yang pakai ramai.” Ujar Profesor yang berasal dari Batu Pahat ini. Jadi beliau dan rakan-rakan biasanya berkongsi pakai motorsikal yang dibeli untuk ke mana-mana. Perkara ini sudah menjadi biasa dan hubungan menjadi sangat akrab melalui cara itu.

Satu perkara yang beliau perhatikan sangat baik ialah belajar secara berkumpulan sebelum peperiksaan. Mereka membawa makanan “potluck” ketika mahu belajar bersama-sama dan apabila tiba waktu makan rehat mereka akan makan bersama-sama sambil bercanda (bergurau senda). Ini mengeratkan tali persahabatan hingga kini.
Peristiwa yang beliau tidak boleh lupa ialah mapram. Istilah mapram ialah akronim bagi masa perkenalan mahasiswa dan juga ketika menjalankan walawa, iaitu wajib latihan mahasiswa. Walawa dijalankan seperti palapes di Malaysia.

“Kami diajar cara perang sangkur”, lanjut Profesor Jambari. Kaedah perang sangkur ialah perang olok-olok seorang dengan seorang. Kami banyak mendapat pengalaman perang daripada program ini. Biasanya latihan walawa ini hanya untuk warga Indonesia saja. Jadi, mahasiswa Malaysia akhirnya dikecualikan dari latihan ini setelah menyedari identitas mereka.

Di ITB, ada mata pelajaran Agama Islam. Dalam peperiksaan mata pelajaran ini diadakan ujian solat. Para asisten mengatakan pelajar Malaysia solatnya cepat. Itu komen mereka. Terutamanya soal tomakninah, berhenti sebentar antara dua gerakan solat.

Ketika menceritakan tentang masalah transportasi di Bandung, beliau menyatakan sangat prihatin dengan tukang beca yang menggunakan tulang empat kerat bagi mencari rezeki. Kadang-kadang kalau mendaki mereka terpaksa turun dan menolak beca dan berdengus nafas mereka kerana kepenatan. Beliau pernah mengalaminya ketika melewati Jalan Braga menujuk ke Jalan Dago kerana arahnya mendaki.

Dalam wawancara Profesor Jambari kembali menceritakan pengalaman beliau membawa sampel ulat yang beliau kaji dengan menggunakan angkot dari Bandung ke Lembang. Istilah angkot ialah akronim bagi Angkutan Kota. Waktu itu beliau mengkaji pergerakan ulat yang memakan tanaman dengan menggunakan kaedah “Radio Tracing” bagi mengesan perjalanan ulat dalam kerja mereka merosakkan tanaman.

Ulat-ulat yang telah disuntik dengan radio isotop di bawa dengan menggunakan baldi dan ditutup rapi. Apa yang dikhuatirkan ialah kesan radiasi yang dihasilkan melalui radio isotop itu kepada persekitaran. Sinaran gama amat sensitif kepada manusia. Bagi mengatasi masalah itu, langkah keselamatan perlindungan sinar radio isotop telah diambil secukupnya dengan menggunakan penahan lead atau timah hitam. Melalui cara ini kesan sinaran gamma yang dikeluarkan dari bahan radio isotop dapat dihinrakan. Beliau menggunakan fasilitas PRAB, iaitu Pusat Reaktor Atom Bandung yang letaknya bersebelahan dengan ITB untuk menjayakan kajian beliau.

Semasa mengimbau kembali kehidupan beliau di rumah kostnya, satu kejadian yang agak aneh berlaku dalam keluarga keturunan Jawa yang mempunyai 3 anak lelaki dan seorang anak perempuan yang sudah remaja ditambah dengan 4 orang anak kost dari Malaysia dan seorang dari Medan. Waktu itu TV belum banyak dan masih dalam “Black and White (B/W)”. Kami hanya ada radiogram bagi mengikuti acara-acara radio amatir. Satu hari bapak kos menanyakan kepada kami apa setuju kalau mereka dibelikan Televisyen (TV).

Kami agak terkejut alias keheranan mengapakah perlunya Bapak kostnya mendapat izin dari kami sedangkan kami hanya anak kost beliau. Tentu kami tiada halangan dan sudah tentu tidak terganggu ketenteraman untuk belajar dengan adanya TV. Tapi itulah yang mereka lakukan. Barulah saya sadar betapa hormat dan santunnya mereka kepada kami biarpun kami hanya anak kost mereka.

Minat beliau dalam penyelidikan adalah berbagai termasuklah “Parasites of wildlife”, “Biology and control of vectors (Aedes)”, “Applied malacology (Medical and agricultural mollusks)”, “Radiation biology”, “Inland fisheries” dan “Bioindicators of aquatic pollution”. Banyak penyelidikan dan kertas jurnal dihasilkan yang membawa beliau kepada gelar Profesor dalam bidang Biologi di UPM pada tahun 2005.

Beliau telah mendirikan rumah tangga ketika di Bandung dengan teman sekuliah beliau Luciana. Hingga kini mereka dikurniai lima puteri, Dian Indrayani, Adila, Kamelia, Nuzul and Atiqa yang telah berjaya dalam bidang pengajian pilihan masing-masing. Kenangan manis yang tidak boleh dilupakan menjadi inspirasi hebat dalam hidupnya untuk berjaya. Walau pun seorang jejaka dalam keluarga tujuh orang, namun Profesor Jambari pintar memasak dan membantu dalam urusan rumah tangga keluarga.

Hobi beliau yang senentiasa membara hingga kini ialah fotografi. Walau pun mekanik permotoran juga menjadi hobi beliau, namun penglibatan beliau dalam penyelidikan pengurusan sisa pepejal dengan sebuah syarikat swasta bertaraf dunia banyak menyita waktu beliau.

Beliau bergiat cergas dalam Persatuan Alumni Perguruan Tinggi Indonesia (PAPTI) dan Ikatan Alumni ITB Cabang Kuala Lumpur.

Wawancara dan tulisan oleh Dr Ismail Abdullah, 16 Ogos 2011.

Zhari Ismail Pakar Kimia Farmaseutikal yang berjaya

Prof Dr Zhari Ismail dilahirkan 28 Jun 1949 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah seorang pakar dalam bidang Kimia Farmaseutikal. Minat beliau yang mendalam dalam produk asli yang mempunyai aktiviti “urolithic” telah membawa beliau jauh dengan memenangi beberapa anugerah antarabangsa. Beliau juga berminat dalam pemiawaian herba dan bidang-bidang yang sangat berkaitan dengan penyelidikan utama beliau seperti farmakognosi, sintesis dan prodrug.

Beliau telah berkawin dengan Sa’diah binti Abdullah dan dikurniakan seramai 13 orang cahaya mata yang menjadi kesayangan beliau dalam hidup ini, Zayd, Salman, Huzhayfah, Ahmad, Ammar, Imran dan Muadz adalah tujuh orang putera beliau, sementara Nur, Salwa, Zakiyyah, Hanaa, Nasreen dan Ilham adalah enam orang puteri beliau. Kemeriahan keluarga Prof Zhari diserikan lagi dengan kehadiran 5 orang cucu daripada 4 anak yang berkeluarga. Semua nama anaknya hanya mempunyai satu nama yang menggambarkan Prof Zhari ialah seorang yang sederhana dan sangat bersahabat. Orangnya serius dalam bidangnya dan sangat focus.

Fikrahnya yang jelas kepada Islam sejak di Institut Teknologi Bandung (ITB) lagi terserlah melalui pendidikan anak-anaknya. Tokoh idola beliau semasa di ITB ialah Bapak Dr Ir Imaduddin Abdul Rahim seorang dosen bidang Elektro di ITB, yang juga seorang pendakwah hebat. Dalam hidup seharian Prof Zhari begitu disiplin dalam mendidik keluarganya kearah Islam.

Setelah lulus dari ITB dengan memperolehi Sarjana Muda (B. Pharm) dan Sarjana
Farmasi (M. Pharm) pada tahun 1976, beliau telah diterima oleh Universiti Sains Malaysia sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Sains Farmasi dan membiayai beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Strathclyde, Scotland sehingga mendapat PhD dalam bidang Kimia Farmaseutikal pada tahun 1982. Sejak mendapat PhD beliau terus gencar memburu gelar profesor dengan melakukan banyak penyelidikan bertaraf dunia.

Penyelidikan beliau banyak tertumpu kepada bidang Fikokimia dan Farmakognosi tumbuhan ubatan tempatan yang berguna dalam penyakit batu ginjal, gout, antiangiogenesis dan keadaan yang berkaitan. Beliau telah menerbitkan lebih daripada 250 artikel saintifik dalam jurnal, monograf, prosiding, abstrak peringkat antarabangsa dan kebangsaan, beberapa buah buku dan monograf termasuk Indeks Tumbuhan Ubat Malaysia.

Beliau terlibat sebagai ahli pasukan Penyelidik dalam Malaysia-MIT (USA) Biotechnology Partnership Program (MMBPP) bagi Eurycoma longifolia (Tongkat ali) dan Centella asiatica (Pegaga).

Dalam bidang aplikasi teknologi maklumat berkaitan dengan bidang teras, beliau telah menjadi ahli kumpulan penyelidik USM bagi biosensors, melibatkan kaedah Kromatografi Gas pantas (z-Nose technology), “pattern recognition”, “artificial neural network (ANN)”, kemometrik dan metabolomiks bagi Pemiawaian dan QC herba yang memenangi beberapa anugerah peringkat Nasional dan Antarabangsa.

Walau pun beliau telah bersara pada tahun 2005, namun kepakaran beliau sukar dicari ganti dan USM terus memberikan kepercayaan kepada beliau sebagai Professor kontrak dan mengetuai Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi Pusat Pemiawaian Herba (CHEST-Centre for Herbal Standardisation) projek kerjasama Biotropics Malaysia Berhad dengan USM.

Dalam penerbitan beliau telah terlibat sebagai ahli dalam Sidang Editorial “Journal of Tropical Medicinal Plants (Malaysia)” dari tahun 2000 hingga 2011. Beliau juga telah diundang sebagai ahli Sidang Editorial “Journal of Ethnopharmacology” yang berpusat di Amsterdam, Belanda bermula tahun 2005 hingga 2011.

Bagi menghargai jasa-jasa dalam bidang kepakaran beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Halal HDC tahun 2010 dan juga penerima Anugerah Khas Negeri Pulau Pinang sempena Maulud Rasul tahun 2011.

Sebagai seorang Profesor yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran beliau telah dilantik sebagai pemeriksa luar bagi calon PhD dan M.Sc dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Beliau seorang yang begitu komited dalam organisasi. Bakat beliau sebagai seorang pemimpin terserlah semasa menjadi pelajar di Bandung lagi, beliau telah diamanahkan dengan pelbagai jawatankuasa antaranya;
  1. Pembimbing Halal bagi HDC (Halal Industry Development Corporation),
  2. Pengerusi Jawatankuasa MS 2424 (P) garis panduan Halal Pharmaceutical, JAKIM, HDC dan SIRIM.
  3. Ahli Pakar Rujuk dan Editor, “Halal Index Vol 1”, Farmasautikal Berasaskan Khinzir.
  4. Ahli J/K Kebangsaan Monograf Herba Malaysia dan Ahli J/K Teknikal Monograf Herba Malaysia Vols. 1,2 dan ulangan.
  5. Pengerusi Kumpulan Kerja SIRIM bagi Standard Herba & Rempah Malaysia.
  6. Ahli J/K MIG-Herba bagi merangka Malaysian Herbal Framework.
  7. Ketua Klaster Standardization & Product Development, Center of Excellence Projek NKEA, Kementerian Pertanian.
  8. Ketua Projek Pembangunan Ladang Herba di Perlis bagi pihak USM dan Kerajaan Negeri Perlis 2002.
  9. Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Herbal Corporation (MHC) dan Kedah Biotechnology Corporation (KBioCorp) dan Perunding bagi penubuhan Makmal BIOSTAQ di Taman Teknologi Tinggi Kulim.
  10. Wakil Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bagi Perubatan Tradisional dan Komplimentari Medicines dalam Jawatankuasa di Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga tahun 2008.
  11. Pengerusi Istilah Farmasi (1988-2000) USM, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan mewakili Malaysia di Persidangan MABBIM di Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Dalam masyarakat beliau terlibat aktif dalam pergerakan dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak pulang dari ITB pada tahun 1976 dan telah berada dalam Jawatankuasa ABIM Peringkat Negeri Pulau Pinang. Beliau juga memenuhi undangan ceramah, forum dan diskusi ilmiah dalam bidang kepakaran beliau dan juga berkaitan dengan jawapan Islam terhadap bidang Kimia Farmseutikal.

Itulah beberapa fakta berdasarkan “curriculum vitea (CV)” beliau dan pengalaman bersama beliau belajar dan hidup di Bandung sejak tahun 1970 hingga 1976. Kebetulan kami sama-sama masuk ITB pada tahun yang sama dan juga bergraduat pada tahun yang bersamaan juga.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 15 Ogos 2011.

Friday 12 August 2011

Siti Zainon Ismail - Dari Anak Alam Ke Menara Gading – Ahmad Fadzil Yassin

Ayob Yamin (sekarang Haji) memperkenalkan kepada saya seorang gadis manis di Sudut Penulis , Tingkat 1, Dewan Bahasa dan Pustaka, satu malam pada tahun 1974. Ada pertemuan penulis dan pameran lukisan malam itu. Gadis manis itu, mrenurut Ayob baru pulang dari Yogyakarta. Indonesia. Katanya, gadis itu pelukis, lulusan Akademi Senirupa Indonesia (ASRI). “Dia itu kawan baik dan sama sekolah dengan isteri saya, Yasmin,” kata Ayob.

Saya melihat gadis manis ini pendiam orangnya. Setidak-tidaknya pada malam itu. Dia tidak banyak bicara. Ketika itu dia duduk di atas sebuah meja kecil, Kedua-dua belah tangannya memegang tepi meja sementara kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah. Memang banyak orang yang hadir dan perkenalan kami Cuma setakat di situ. Sehinggalah pada suatu hari apabila saya menerima panggilan telefon daripadanya. Dia ingin memesan majalah Dewan Masyarakat untuk dihantar kepadanya setiap bulan. Sejak itu kami sering berbincang dan bertemu untuk menyemarakkan lagi dunia penulisan. Dia punya kelebihan , iaitu bakat melukisnya. Pun dia terdidik dalam bidang seni rupa.

Itulah Dr. Siti Zainon yang saya kenali. Kini dia seorang profesor Madya dan bertugas sebagai Pengarah Kebudayaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Ayob Yamin, Latiff Mohidin dan beberapa kenalan baiknya memanggilnya Izan. Ibunya memanggilnya begitu. Barangkali itu nama timangannya sejak kecil. Ijazah Doktor Falsafahnya diraihnya empat tahun yang lalu. Baginya barangkali itulah pencapaian akademik yang paling dia tunggu-tunggu dan paling manis yang dia anggap sebagai kejayaan puncak kehidupan kampusnya.

Perjuangan dan suka duka untuk mencapai tahap yang paling tinggi dalam bidang pendidikan ini yang sekian lama dilalui tidak sia-sia. Barangkali dia sendiri tidak menduga bahawa pada hari ini, dia berada di persada mulia puncak menara gading sambil menyumbang bakti memaju kebudayaan yang pelbagai. Saya kira Izan akan selalu bernostalgia, menyelusuri kisah-kisah lama di negara tetangga ketika menimba ilmu. Sesekali dia akan bersedih mengenang nasib malang di perantauan. Dia akan mengenang jerih payah ibunya di Padang Balang yang selama beberapa tahun membiayai persekolahannya di Yokyakarta, sehingga dia tamat dan pulang. Namun apapun jua jerih payah ibunya itu adalah “sebutir emas” yang menjadi bekalannya untuk lulus cemerlang dalam bidang seni lukis.

Dua minggu lalu, tepatnya pada 18 Disember 1997, Izan merayakan hari ulang tahunnya. Puas, saya kira, dengan kerjaya yang diimpikan melalui lirikan senyuman dan linangan air mata . Baginya, kehidupan yang dia lalui sejak meninggalkan tanah air pada awal tahun 1970-an adalah ibarat mimpi sedih, ngeri bercampur indah dan mengasyikkan. Mimpi sedih dan ngeri kerana liku-liku kehidupan yang dia lalui di rantau orang tanpa persediaan yang cukup demi mengejar cita-cita yang saya kira berputik daripada nasihat pelukis Hussein Anas . Indah dan mengasyikkan kerana dia mula kenal mesra dengan pelukis-pelukis ternama Indonesia, seperti Affandi dan anaknya, Kartika. Di samping itu dia berpeluang membiasakan diri bertemu, berbincang dengan penyair dan dramtis Indonesia W.S. Rendra dan nama-nama besar yang lain. Pengalaman bertemu dan bekerja dengan nama-nama besar dalam dunia seni lukis dan persuratan ini adalah “kekayaannya” dan menjadikannya lebih matang dan dewasa.

Hingga ke hari ini hubungan intimnya dengan rakan-rakan sekarya di bumi jiran tetap utuh. Malah, keintiman itu telah berhijrah pula ke daerah Serambi Mekah di utara Pulau Sumatera, iaitu Acheh. Begitu kasihnya Acheh kepadanya, sehingga dia dianugerahkan gelaran Teuku Nyak Fakinah pada tahun 1990. Empat tahun sebelumnya dia menerima hadiah awal berupa piagam Seminar Sastera Nusantara, Universitas Jabal Ghafur, Acheh.

Latiff Mohidin, A. Ghaffar Ibrahim, Sulaiman Isa dan beberapa orang lagi tidak akan lupa akan kegiatan dan peranan wanita ini dalam kelompok Anak Alam yang setiap petang “ngumpul” di sebuah rumah di Taman Budaya berdekatan dengan padang yang sekarang dinamakan Padang Merbuk. Di rumah inilah ada kalanya ahli-ahli kumpulan ini berbincang-bincang santai tentang alam lukisan dan kepenyairan. Sesekali mereka serius melukis. Senja atau lewat malam baru mereka bubar. Bagi mereka alam adalah segala-galanya dalam proses penciptaan dan Izan bersama yang lain menjelajahinya melalui minda dan jejak langkah. Dan alam juga menjadikan Izan begitu perasa dan mudah terusik.

Dan dia juga begitu manusiawi. Dengarkan dia bersuara lewat sajaknya “Tukang Besi
Di Bengkel Kereta Api”:

Dia lelaki tiga zaman
telah dilengkungnya fajar kelabu
telah disilangnya keringat siang
dialah lelaki penakluk malam
menyentik hujan
silih berganti
jari kematunya masih mengetuk jeriji
seperti juga setia dia
menghitung malam

Jiwanya yang perasa itu dilahirkannya melalui berbagai-bagai ungkapan puitis dalam beberapa buah antologi puisinya. Sehingga tahun 1992 dia telah melahirkan Nyanyian Malam (1976), Puisi-Puisi Sang Kekasih (1984), Daun-Daun Muda (1986), Perkasihan Subuh (1986), Kau Nyalakan Lilin (1990), dan Bunga-Bunga Bulan (1992). Antologi terakhir ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang diberi judul The Moon is a cradle setahun kemudian. Terjemahan disempurnakan sendiri oleh suaminya sendiri, Hafiz Ariff Aveling.

Izan cuba bernostalgia melalui Rembang Flamboyan, sebuah novel remaja yang diterbitkan pada tahun 1995. Seting dan latar belakang cerita Jakarta, Bandung dan Bali. Ini sebuah kisah remaja dunia kampus, kisah seorang gadis di perantauan yang terpaksa bergelut dengan realiti dan karenah alam keremajaan di tengah-tengah dia memburu cita-cita. Anizah, watak utama Rembang Flamboyan dibuai rasa dan dia berkeras ingin menjadi remaja ideal yang mampu mengawal rasa dan perasaan. Semua dugaan hidup remaja berjaya dilaluinya dan akhirnya dia berjaya, bukan setakat meraih gelar sarjana tetapi juga tetap utuh setelah berdepan dengan berbagai-bagai dugaan dan godaan. Anizah mendengar lagu Trio Bimbo:

Senja itu
Flamboyan berguguran
Berserakan
Jatuh ke bumi…

Dan sewaktu dia ‘ngelamun” itu namanya dipanggil dan Anizah cepat-cepat memadamkan “ingatan padangan rembang flamboyan, menggantinya dengan kembang semarak merah menyalakan… dengan tekad utama.” Barulah Izan berasa puas apabila dia, melalui watak Anizah berdoa, “Tuhan, hidupku baru bermula,tiupi daku demi nyala cinta-Mu!’ Pada tahun yang sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan Pulau renek Ungu.
Bagaikan tak puas mengukir kata dalam puisi dan novel, Izan melahirkan empat antologi cerpen, iaitu Sri Padma (1984), Dongeng Si Siti Kecil (1988), Attar Dari Lembah Mawar (1988), dan Bunga Putik Putih (1991). Pendidikan akademiknya dalam bidang seni rupa menyemarakkan lagi warna kerjayanya. Izan seperti membaurkan minat dan kerjaya, lebur dalam satu wadah budaya. Seni tekstil dan kraf tangan bagaikan menyatu pula ke dalam wadah itu. Dia melahirkan Getaran Jalur dan Warna (1985), Rekabentuk Kraftangan Melayu (1986), Percikan Seni (1988), Tekstil Tenunan Melayu (1994), dan The Craft of Malaysia (1994).

Dalam perbualan pendek melalui telfon beberapa hari yang lalu, dia memberitahu yang dia sudah pun menyiapkan manuskrip untuk buku mewah berjudul Busana Melayu Johor. Katamnya penerbitan buku ini akan ditaja oleh Yayasan Johor dan bakal terbit tidak lama lagi. Dalam pada itu, Izan sedang sibuk pula dengan rancangan untuk mengadakan pameran lukisan keliling negara-negara ASEAN. Menurutnya, beberapa pelukis dari negara-negara sahabat ini akan bergabung tenaga menjayakannya. Sebenarnya, kegiatan seumpama ini tetap dia teruskan . Beberapa pameran lukisan , hasil koleksi dan karya peribadinya telah pun diadakan sepanjang kerjayanya. Semacam lukisan itu telah sebati pula dengan darah dagingnya. Dia amat giat dalam bidang ini hingga kadang-kadang terfikir juga bagaimana dia membahagikan waktu melakukan semua ini. Misalnya, pada tahun 1976, dia menjadi ahli jawatankuasa Anak Alam selama tujuh tahun . Setelah itu dia bergiat pula dalam Persatuan Pelukis Malaysia himgga tahun 1984. Pada tahun 1991, untuk selama tiga tahun dia dilantik menjadi ahli Lembaga Balai Senilukis Negara . Institut Teknologi MARA melantiknya sebagai pemeriksan luar Kajian Seni Halus pada tahun 1987, 1991 dan 1993.

Kualiti perjuangan dan hasil karyanya tercermin melalui hadiah dan penghargaan yang diraihnya. Sejak tahun 1960 karyanya telah diberi pengiktirafan sebagai yang berkualiti. Pada tahun itu, Izan memenangi Hadiah Seni Lukis Sekolah- Sekolah rendah Selangor. Semasa menuntut di Yokyakarta, dia mendapat penghargaan Hadiah Sketsa Kartini, ASRI. Pada tahun 1972, dia menerima pula hadiah utama Pelajar Seni Lukis ASRI.Dalam bidang penulisan Izan meraih Hadiah Sastera genre puisi sejak tahun 1975 lagi. Hadiah Puisi Islam PUSPA, Kelantan 1987, Hadiah Esei Seni, Dewan Sastera 1988 dan puncaknya Hadiah SEA Write Award di Bangkok, 1989. Tiga tahun lalu kerana jasanya yang tidak ternilai dalam usaha menaikkan martabat wanita, Izan terpilih menerima Anugerah Tan Sri Fatimah Avon.

Demikianlah, dalam usia yang masih dianggap muda, kejayaannya dalam bidang seni lukis dan penulisan serta pencapaian puncak dalam bidang akacemik merupakan hasil kerja keras yang tiada hentinya sejak dia menjejak kaki di bumi Indonesia. Di sanalan tersimpan segala khazanah suka dukanya dan di sanalah berputiknya impian untuk menjadi seorang wanita “serba boleh”. Dan saya kira kelunakan suaranya berbicara lancar, terutama apabila dia memperkatakan sesuatu dalam bidangnya ini adalah bukti keserbabolehannya itu. Dialah Siti Zainon Ismail yang doktor dan senang dengan nama Izan Baina. Terakhir ini dia sering membahasakan dirinya “bonda” atau “kakak” apabila bersembang rasa dengan penulis-penulis remaja.
(Utusan Zaman, 5 Januari 1997).

Dr Ramli Isnin - Pengkritik Sastra Lulusan Gajah Mada - Ahmad Fadzil Yassin


Selama lima setengah tahun dia menimba ilmu dan pengalaman di Jogjakarta bagaikan tempat tinggalnya di Wirogunan dan Piri di kota itu menjadi kampung kedua baginya setelah Seliau di Seremban. Khabarnya sepanjang tempoh panjang itu tidak sekali dia pulang ke Seremban. Dan khabarnya juga dia ke kampus Universitas Gajah Mada menggunakan speda (basikal). Dapatlah saya bayangkan betapa dia mengayuh basikal ke tempat kuliah di pekarangan kampus yang maha luas itu bersama-sama ribuan mahasiswa lain. Barangkali basikal merupakan jenis "kenderaan" dalam kampus.

Sesekali dia, Ramli Isin yang memiliki doktor falsafah dalam bidang kesusasteraan, akan memandang ke kejauhan melepasi jendela kamar kerjanya di Universiti Putera Malaysia (UPM), untuk bernostalgia seketika tentang kisah masa lalunya dalam bidang pendidikan. Betapa dia akan membuat perbandingan kisah suka-dukanya di kampus Gajah Mada dengan kisah mahasiswa-mahasiswa di UPM, yang barangkali lebih beruntung dari sudut kemudahan dan pembiayaan pendidikan.

Ramli tidak akan menyesal dengan cara dia memperoleh pendidikan sehingga ke tahap yang dia miliki sekarang. Ada hikmah yang tersembunyi kerana pendidikan formal dan tidak formal yang dimiliknya itu menjadikan dia seperti yang sekarang ini sebagai penyebar ilmu dan pengkritik dalam biang kesusasteraan. Ketika mula saya mengenalinya di Dewan Bahasa dan Pustaka (dia bertugas sebagai pegawai penyelidik sastera) pada tahun 1973, tutur katanya masih pekat dialek Indonesia dengan sebutan Jawanya. Sudah begitu sebati lidahnya dengan sebutan itu. Tidak lama kita bersama di DBP kerana pada tahun 1975 dia pindah kerja ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Gajah Mada mengajarnya menjadi seorang penulis yang gigih dan konsisiten. Juga Gajah Mada menguji bakatnya sebagai seorang pengkritik dalam bidang kesusasteraan. Di Indonesia pusat pengajian tinggi ini terkenal melahirkan tokoh-tokoh besar kesusasteraan, malah tenaga pengajarnya terdiri daripada tokoh-tokoh terbilang dalam bidang itu. Ramli bin Isin tidak sia-sia menguji kesabaran hidup di daerah istimewa kota Jogjakarta itu. Kaya dengan budaya silam melalui kerajaan kraton, yang legasinya masih gah di pusat kota, di penghujung Jalan Malioboro yang terkenal dengan sajian burung dara di waktu dinihari. Ramli tidak akan dapat melupakan dua rakannya yang lain yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk belajar di kota itu, iaitu Rahman kaeh ( mantan profesor di Universiti Malaya), dan Morad Mat Jan.

Ramli memperdalami ilmu di Fakultas Sastera dan Kebudayaan, menjurus ke bidang bahasa dan sastera Indonesia. Yang mengajarnya termasuk beberapa tokoh besar dalam sastera Indonesia, antaranya Prof. Baroroh Barid, ahli filologi, Prof. Hamamah dan Prof. Ramli Leman Sumuwadigdo. Sesekali pula Ramli Isin akan mengagak-agak di mana gerangan teman-teman sekuliahnya seperti Abdul Rozak Zaidan, Sumardi dan Petah Agul yang khabarnya sudah menjadi sasterawan besar di Indonesia. Dia akan merindukan tutur kata dan tingkah langkah mereka semasa di kampus. Namun dia masih punya kawan seperti Rahman Kaeh yang tinggal berhampiran di Seremban. Dengannya setiap kali bertemu pasti nostalgia akan berpanjangan.

Demikianlah, Ramli Isin akan menjengah masa lalunya saban ketika. Suaranya yang lantang sambil disambut dekahan ketwa menyatakan kehadiran dirinya. Kawan-kawan dekatnya seperti Dharmawijaya, Othman Puteh dan Yusof Mohd Nor sudah terbiasa dengan nostalgia dan dekahan ketawanya itu. Bagi mereka, Ramli adalah kawan yang boleh diajak berunding dan jarang amat dia "bercerita tentang hal orang lain beserta kelemahananya."

Seperti halnya peneliti Dr. Yusof Hassan, Ramli bergiat dalam lapangan pengkritikan dengan eseinya berpusar kepada bidang yang dia amat pakar. Dia bukan penulis kreatif tetapi dia menilai karya kreatif melalui kacamata keilmuan dan pengalamannya. Dia barangkali memanfaatkan pengalaman peribadinya untuk meninjau dan menganalisis aspek kemanusiaan dalam karya kreatif seseorang pengarang. Dengarkan dia bicara tentang Dharmawijaya dalam "Suka Lara Penyair Tiga Dekad" (Dewan Sastera, Feb. 99): Secara sedar Dharmawijaya fenomena dan alam semula jadi dengan kehidupan sehari-hari seorang manusia atau sesuatu kelompok masyarakat, khususnya kelompok masyarakat bangsanya yang sentiasa berdepan dengan alam semula jadi. Kesan pengadunan kaitan antara dua faktor ada kalanya Dharmawijaya menceriakan terutama apabila alam semula jadi itu digunakannya semata-mata untuk menghubungkannya dengan kehidupan masyarakat sekitaran. Ada kalanya Dharmawijaya menderitakan manusia atau masyarakat yang menjadi pemikirannya itu. Malah ada kalanya penyair ini menceritakan aspek cerita dan derita manusia itu bersama-sama dalam sesebuah puisinya. Hal ini jelas dicitrakannya dalam puisi "Cinta Sayang Di Sawah Ladang" yang begitu menggugah perasaan khalayak pembaca.

Begitulah Ramli begitu dekat dengan alam yang membaur bersamanya apabila menganalisis sesuatu karya. Kejayaan dan keberkesanan pengamatannya yang "alamiah" ini sudah tentu memakan masa panjang dan memerlukan pengalaman empirikal yang berterusan dan yang ditambah pula oleh pengalaman pedagogikal yang ditimbanya semasa menjadi guru selama enam tahun (1961-1967).

Selama di Jogjakarta, Ramli tidak serik mengirim esei dan kritikannya ke suratkhabar dan majalah di Malaysia. Dia menunjukkan tahap konsisten yang berterusan sehingga tulisannya dapat mencerminkan kesungguhan, kerajinan dan nilai yang tinggi. Buktinya, Ramli telah diiktiraf oleh panel Hadiah Karya Sastera apabila dia dipilih bersama Ilias Zaidi sebagai pemenang hadiah penggalakan esei/kritikan bagi tahun 1975. Buktinya lagi, Ramli pernah dilantik untuk menganggotai panel penilai Sayembara Novel Gapena 1976, panel penilai Sayembara Esso-Gapena, panel penilai peraduan mengarang novel Hari Guru, panel penilai Anugerah Karya Bangsa anjuran Gapena-KKBS (Bahagian novel), panel penilai Hadiah Buku Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan panel penilai Hadiah Sastera Malaysia.

Ada yang berkata disebabkan usahanya yang konsisten dalam bidang esei dan kritikannya ini, maka Ramli kesuntukan masa untuk mencuba-cuba dalam penulisan kreatif. Tidak satu cerpen atau sajak yang pernah dihasilkannya sepanjang dia bergiat dalam lapangan persuratan ini. Barangkali ada, cuma saya belum ketemui. Mana tahu karya-karya itu masih tersimapn di lacinya.

Ramli biasanya amat apolojetik dan merendah diri.Kemungkinan besar budaya "inggih" dan tingkah sosial masyarakat Jogjakarta menguasai gerak tingkahnya yang walaupun sudah sekian dekad ditingalkannya masih terus mempengaruhi jiwanya. Atau masyarakat Siliau mengajarnya bersopan begitu. Dalam pada itu belum pernah saya meilhat dia marah-marah atau Ramli pandai menyembunyikan tanda marah di wajahnya. Dia mungkin sahaja marah dalam dekahan ketawanya atau mungkin saja dia mendiamkan diri dengan gelengan kepalanya. Perwatakannya inilah yang membuatkan rakan-rakannya senang berdamping dengannya. Rakan-rakan seperti Rahman Kaeh, Othman Puteh dan Dharmawijaya. Rakan yang terakhir malah semakin akrab. Ke kampus UPM pergi bersama pulang berdua. Setiap kali saya ke pejabat Dharmawijaya, setiap kali itu pula saya menemui Ramli di sana atau mereka berdua sedang bercakap melalui telefon. Dan sebelum berpisah lazimnya kami bertiga akan makan tengahari di Serdang atau di kafeteria mesjid universiti. Dan ketika itu tidak jarang nostalgia jogja kembali meredah ruang dan suasana dengan diikuti hilaian kah! Kah! Kah!

Kini Ramli tidak lagi menulis segiat dulu. Dia mengaku bahawa program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) menyita banyak waktunya. Minggu lalu semasa berbual santai di pejabatnya dia menunjukkan kertas-kerta jawapan mahasiswa yang mengikuti program ini yang ratusan jumlahnya. "Pening. Semua ini perlu dinilai mengikut jadual," katanya. "Ini belum dikira lagi mereka yang mengambil program sarjana yang mengetuk pintu dan menelefon minta bimbingan."

Sibuk tak sibuk dengan tugas mengajar, Ramli banyak juga menyusun buku. Malah dua daripada buku yang disusun bersama dipilih menjadi teks sastera peringkat SPM, iaitu "Suatu Subuh Yang Bening" (1983) sebuah antologi cerpen yang disusun bersama Othman Puteh dan "Kelapa Nan Sebatang" (1991) juga sebuah antologi cerpen susunan bersama Razak Mamat. Turut diterbitkan ialah antologi cerpen "Dongeng Merdeka" yang disusunnya bersama Othman puteh. Dalam bidang puisi dia menyusun "Nafas Kemanusiaan" (1980) dan 'Gema Lembah Kinabalu" (1982).

Ramli turut menjadi penyusun kajian dan kritikan sastera seperti "Memperkatakan Tiga Genre" (1985) bersama Othman Puteh dan Sahalan Mohd Saman, "Hari Kemerdekaan" (1989) bersama Sahlan Mohd Saman, "Sejarah Kesusasteraan Melayu ((1990) bersama Kemala, Hashim Awang, Zakaria Ariffin dan Sahlan Mohd Saman, "Tetamu Dari langit" (1990) bersama Hashim Awang, "Drama Melayu Moden dalam Esei" (1981), "Tinta Pena" (1981), "Novel-Novel Malaysia Dalam kritikan" (1982) dan "Riak Dan Gelombang Sastera" (1984), sebuah antologi esei kritikannya yang disusun Othman Puteh. Bagi mnemudahkan pelajar-pelajar memahami teks sastera di peringkat SPM dan STPM, Ramli turut menyusun beberapa buah buku ulasan.

Saya yakin waktu banyak yang disita oleh program PJJnya tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus menyumbang kritikan yang sihat kepada dunia persuratan, terutama dalam bidang sastera. Kepakarannya masih amat diperlukan, setidak-tidaknya buat jenerasi pelajar yang masih lagi berduyun-duyun mengharapkan bimbingannya. Dan tidak dilupakan komuniti pengarang yang masih mahu karya mereka dibedah oleh sarjana lulusan Gajah Mada ini.
(Dipetik daripada akhbar Utusan Zaman, 28 Mac 1999)